mangga

Thursday, November 15, 2012

Hampir gila disihir

Lamanya tak blogging, walaupun bermacam macam perkara telah berlaku. Arang pun dah dapat kawan baru, padahal sebelum ni dah ada Muaz tapi kali ini datang yang lain Si Putih walaupun tak putih sepenuhnya. Hari ni marilah kita berkongsi pengalaman seorang wanita yagn telah disihir semata mata kerana memutuskan perhubungan dengan kekasih beliau yang curang. Kisah ini dipetik dari akhbar Utusan Malaysia.

SETELAH hampir setahun merana dan hidup tidak tentu arah kerana disihir oleh teman lelakinya sendiri, kini Hana (bukan nama sebenar), 24, menggagahkan dirinya untuk bangun semula bagi menjalani kehidupan seperti biasa.
Dia yang telah disihir oleh teman lelakinya ketika berada di tahun akhir pengajian peringkat diploma di sebuah universiti awam di Selangor tidak pernah menyangka dugaan seberat itu akan menimpa dirinya.
Rentetan daripada peristiwa itu, anak bongsu daripada tiga beradik yang dahulunya seorang yang ceria dan peramah, berubah perwatakan menjadi pendiam, murung dan banyak menghabiskan masa mengurung diri di rumah.
Setelah berusaha pelbagai cara termasuk 'berubat' dengan pengamal perubatan tradisional, baru kini Hana nampak sedikit bersemangat dan mahu bercerita lanjut mengenai kisah hidupnya.
Katanya, dia bertemu dan berkenalan dengan kekasihnya itu ketika mereka sama-sama melanjutkan pengajian di peringkat diploma.
"Perkenalan kami telah diatur oleh rakan sekuliah yang juga rakan kepada teman lelaki. Walaupun saya tidak mempunyai pengalaman bercinta tetapi kehadirannya telah membuka ruang dalam hati untuk menerima cintanya.
"Hubungan yang pada mulanya hanya sekadar kawan biasa akhirnya bertukar kepada pasangan kekasih.
"Walaupun selepas itu kami tidak seuniversiti lagi kerana saya di Selangor manakala dia di Melaka, tetapi itu bukan penghalang untuk kami berdua bertemu di hujung minggu," katanya.
Tambah Hana, dia sangat tertarik dengan sikap kekasihnya yang penyayang dan mengambil berat.
Namun, segalanya berubah kerana tanpa diduga teman lelakinya itu telah menjalin hubungan dengan wanita lain di luar pengetahuan Hana.
"Saya pernah terserempak dengan dia bersama-sama perempuan itu dengan aksi penuh mesra di sebuah pusat beli- belah. Selepas disoal akhirnya dia mengaku bahawa perempuan itu adalah bekas kekasihnya," katanya.
Ujar Hana, disebabkan tidak mahu hatinya terus terluka dengan babak yang dilihat itu, Hana telah membuat keputusan untuk memutuskan hubungan dengan teman lelakinya.
"Hasrat saya itu telah dibantah oleh kekasih dengan alasan dia masih menyayangi saya dan tidak sanggup untuk berpisah.
"Begitupun saya nekad untuk berpisah sehingga akhirnya dia terpaksa melepaskan saya. Namun sebelum berpisah dia sempat melontarkan kata-kata, jika dia tidak dapat memiliki saya, orang lain juga tidak akan dibenarkan untuk mendekati saya," katanya.
Selepas dua bulan mereka berpisah, secara tiba-tiba Hana mengalami masalah kesihatan yang teruk tanpa diketahui puncanya sehingga ke tahap dia hampir menjadi gila.
"Waktu itu saya sering demam yang berpanjangan serta muntah setiap kali menjamah makanan.
"Badan menjadi lesu dan tidak bermaya sehingga terpaksa ponteng kuliah kerana keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan.
"Pada masa sama setiap kali masuk waktu senja hati saya juga selalu resah dan berasa takut tidak keruan walaupun saya sendiri tidak tahu apa yang saya takutkan.
"Saya juga mula mengasingkan diri daripada kawan-kawan seolah dilanda kemurungan, malah rakan sebilik ada memberitahu pernah melihat saya bercakap seorang diri.
"Walaupun dalam keadaan seperti itu, saya langsung tidak terfikir bahawa saya telah disihir kerana saya tidak pernah bergaduh mahupun berdendam dengan sesiapapun," katanya.
Menyedari keadaan kesihatan dan dirinya yang semakin kritikal, akhirnya keluarga membawa Hana berjumpa doktor.
Namun, sangat mengejutkan apabila doktor memberitahu dia tidak menghidap sebarang penyakit dan hanya mengalami demam biasa.
"Kerana inginkan kepastian, akhirnya keluarga telah membawa saya membuat rawatan perubatan secara Islam," katanya.
Selepas menjalani rawatan perubatan secara Islam, akhirnya dia diberitahu sakit yang dideritai adalah akibat terkena sihir yang telah dihantar oleh bekas teman lelakinya.
"Menurut ustaz yang merawat saya, sihir yang dihantar oleh teman lelaki bertujuan ingin menyeksa dan melihat hidup saya merana kerana meninggalkannya.
"Dalam tempoh itu juga, saya terpaksa menangguhkan pengajian buat sementara waktu kerana keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan," katanya.
Hana berkata, kini hampir dua tahun peristiwa berlaku, dia bersyukur kerana keadaan kesihatannya semakin pulih dari sehari ke sehari.
"Sekarang saya sedang menyambung pengajian peringkat ijazah. Seribu kesyukuran kepada Ilahi kerana masih memberi kesempatan untuk meneruskan kehidupan walaupun masih perlu menjalani beberapa rawatan bagi merawat sihir tersebut," katanya.
Ditanya adakah berasa marah dan berdendam dengan bekas teman lelakinya, Hana mengakui walaupun terkilan dan berasa marah pada peringkat awalnya dengan apa yang dilakukan tetapi dia tidak menyimpan dendam.
Bahkan Hana percaya, setiap perbuatan sama ada baik atau buruk yang dilakukan oleh manusia di bumi ini pasti akan ada balasan daripada Yang Maha Esa.
"Siapalah saya untuk menghukumnya. Biar Allah saja yang membalas perbuatannya," katanya.

No comments:

Nuffnang